Pages

Saturday 8 November 2014

Pengalaman Saya di Sinod Luar Biasa 2014

Uskup Agung John Ha bersama-sama Uskup Agung Taiwan (kiri). Foto: CNS
Perjalanan bersama (maksud perkataan ‘Sinod’) oleh Uskup-uskup sebagai gembala-gembala bagi jemaat Katolik masing-masing dengan Pope Francis bagi saya adalah satu pengalaman yang begitu mendalam akan Gereja sejagat sebagai umat penziarah. Uskup-uskup datang dari seluruh dunia. Sementara ada yang mengenali satu sama lain, ramai lagi bertemu buat pertama kali – wajah baharu tetapi bukan orang asing. Ada kemesraan kerana wujud rasa persaudaraan mendalam yang datang dari seruan sama Uskup-uskup dalam pembaptisan dan pentahbisan (kepaderian dan juga keuskupan).

Kami Uskup-uskup datang untuk berjalan bersama untuk apa? Untuk berkongsi pengalaman pastoral dan sama-sama mencari cara yang relevan dan berkesan untuk menggembala jemaat masing-masing dalam dunia pada hari ini. Dalam Sinod Luar Biasa Ketiga, perhatian kita tertumpu kepada keluarga. Kerana keluarga pada hari ini menghadapi cabaran yang serius. Kami amat menyedari bahawa kami tidak akan membuat keputusan mengenai perkara yang sangat penting ini dalam pelayanan pastoral kami. Kami berada pada bahagian perjalanan itu bersama-sama yang akan membawa Gereja ke stesen-stesen seterusnya – iaitu rundingan selanjutnya pada peringkat gereja-gereja khusus dan Sinod Biasa yang akan berlangsung dari 4 sehingga 25 Oktober 2015.

Sambil mendengar seruan Bapa Suci agar kami jujur, ikhlas dan rendah hati, kami dengan hati yang percaya berkongsi dengan satu sama lain tentang pengalaman dan pandangan kami, malah menyentuh segala-galanya. Apa yang mendorong kami untuk melakukan perkara ini adalah kasih kami bagi Gereja, khususnya jemaat kami di gereja tempatan masing-masing. Kami mahu berupaya untuk melayani mereka sebagai pastor atau gembala mengikut hati Kristus yang mencari domba yang hilang. Jika pandangan keras disuarakan dalam Sinod, ia adalah kerana kami ingin sekali mendekati semua, terutamanya mereka yang menghadapi cabaran melangkaui keupayaan mereka untuk tangani danm mereka yang mungkin telah berputus asa kerana rumah tangga dan keluarga mereka berada di ambang perpecahan atau sudah pun berpecah belah.

Maka itu ia agak dijangkakan, pada minggu pertama – yang khusus untuk berkongsi pengalaman dan pandangan oleh Bapa-bapa Sinod selain oleh pasangan suami isteri yang dipelawa ke Sinod itu – banyak sekali idea yang telah disuarakan dengan jujur. Ia merangkumi pandangan yang sangat tradisional hingga kepada pandangan yang sangat mengejutkan dan pandangan yang sangat menyenangkan hingga kepada pandangan yang tidak menyelesakan sama sekali. Saya rasa saya berada dalam “hutan idea-idea” tanpa seabrang hala tuju jelas ke mana kami pergi. Apabila ‘relatio’ pertama – satu laporan yang menghimpunkan semua perkongsian dan pandangan – dibentangkan, hala tuju yang sedikit lebih jelas telah muncul; tetapi masih juga ada apa yang ramai rasa adalah isu-isu yang sangat kontroversi. Laporan itu diangkat in toto (secara keseluruhan) bagi perbincangan kumpulan – 10 kumpulan pada keseluruhannya.

Sepuluh kumpulan ini membentangkan reaksi dan tindak balas mereka kepada laporan ini. ‘Relatio’ kedua yang mengambil kira reaksi dan tindak balas ini telah dirangka, dibentang dan diundi, perenggan demi perenggan. Kecuali bagi tiga perenggan yang tidak memperolehi majoriti dua pertiga, ‘relatio’ itu telah diterima. Minda Bapa-bapa Sinod menjadi jauh lebih jelas pada peringkat ini. ‘Relatio’ ini, ia mesti ditegaskan, bertindak sebagai satu dokumen – dipanggil ‘Lineamenta’ – untuk kajian lanjut oleh semua Uskup bersama jemaat mereka sebelum ia dibincangkan dalam Sinod seterusnya, iaitu Sinod Biasa XIV. Tema bagi Sinod seterusnya ialah: “Panggilan dan Misi Keluarga dalam Gereja dan dalam Dunia Pada Hari ini’.

Bapa Suci hadir di semua sesi plenary, dengan sabar dan tekun mendengar semua orang yang berucap. Kehadirannya member inspirasi dan jaminan, walaupun beliau tidak campur tangan sama sekali. Hanya pada penghujung sinod baharulah beliau menyampaikan ucapan penggulungan. Ucapannya itu telah disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin yang berdiri selepas beliau menceritakan bagaimana beliau rasa apabila Bapa-bapa Sinod dengan jujur berkongsi masalah mereka dalam menjaga domba mereka, di mana mereka menghadapi godaan daripada fahaman ekstrim yang berlawanan (dengan kaku berpegang teguh kepada undang-undang gereja (canon law) atau dengan mudah melepaskannya), semua dengan niat baik untuk menggembala dengan baik. Ucapannya sangat menyenangkan dan memberi jaminan. Beliau mengesahkan kehadirannya sebagai pengganti Peter adalah jaminan bagi perpaduan Gereja. Beliau menegaskan: “Saya dengan gembira dapat berkata – dengan semangat kolegialiti dan sinodaliti – kita benar-benar telah menjalani pengalaman ‘Sinod’, satu jalan kesatuan, satu ‘perjalanan bersama’”.

Perpaduan dan perjalanan bersama dengan Pope Francis begitu menyentuh hati saya sepanjang Sinod.

Perjalanan yang tenang untuk keluar dari ‘hutan idea-idea’ menuju kea rah kebenaran asas dalam rumah tangga dan keluarga seperti yang diwahyukan dalam Al-Kitab, diajar oleh Gereja dan dijalani dengan setia oleh ramai pasangan, selain komitmen Uskup-uskup untuk keluar dan mendampingi mereka yang sesat dan cedera dengan kasih dan keprihatinan hanya boleh dianggap sebagai kerja Roh Kudus. Kehadiran-Nya dirasai.

Roh Kudus pasti akan terus hadir di dalam Gereja apabila Uskup-uskup membawa pulang laporan Sinod untuk dibincangkan dan direnungkan bersama jemaat mereka dan apabila Sinod seterusnya bersidang dari 4 hingga 25 Oktober 2015 untuk menimbang dan memahami hasil daripada semua renungan ini. Ia adalah penting bagi jemaat di setiap keuskupan – jemaat awam, religious dan paderi – untuk memberi input mereka mengenai laporan ini supaya Sinod seterusnya ada satu dokumen yang kaya dan bernas untuk dibincangkan.

Sesungguhnya seluruh Sinod adalah kerja seluruh Gereja, walaupun Uskup-uskup yang mewakili Persidangan Uskup-uskup yang akan menghadirinya. Pengalaman, aspirasi dan pandangan umat akan difahami dan dikemukakan kepada Sinod oleh wakil-wakil delegasi ini. Sinod ternyata seluruh umat Tuhan yang berjalan bersama-sama untuk mewartakan kepada dunia tentang Firman Tuhan mengenai rumah tangga dan keluarga. Pada waktu yang sama, mereka turut mewartakan belaskasihan Tuhan kepada mereka yang sudah tersasar dari Firman-Nya selain keluar untuk membwa mereka pulang kepada Tuhan.

Ia adalah penting untuk berdoa bagi Sinod Biasa XIV dan persiapan baginya. Semoga kehadiran Roh Kudus dirasai dan bimbingan-Nya dipatuhi, supaya Gereja benar-benar menjadi ibu yang mengilhamkan dan memupuk rumah tangga dan keluarga yang bagus seperti yang dirancang oleh Tuhan selain merawat dan memulihkan pasangan dan keluarga yang terluka lalu membawa mereka kepada Tuhan.

Uskup Agung John Ha

No comments:

Post a Comment